Yayasan Sabah Terima Dividen RM70 Juta Daripada Sabah Softwoods Berhad

KOTA KINABALU : Yayasan Sabah menerima dividen berjumlah RM70 juta bagi tahun 2024 daripada Sabah Softwoods Berhad (SSB), sekali gus menyaksikan peningkatan sebanyak RM10 juta berbanding RM60 juta pada tahun 2023.

Pengerusinya, Datuk Mohd Arsad Bistari berkata, peningkatan angka signifikan itu mencerminkan komitmen SSB yang konsisten meningkatkan hasil negeri melalui penjanaan pendapatan di bawah anak syarikat Yayasan Sabah itu.

“Pembayaran dividen sebanyak RM70 juta bagi tahun 2024 kepada Yayasan Sabah mencerminkan peningkatan prestasi syarikat berbanding tahun 2023, di mana jumlah dividen yang dibayar adalah sebanyak RM60 juta.

“Peningkatan ini menunjukkan komitmen dan konsistensi SSB dalam menjana keuntungan mampan, sekali gus menyumbang kepada hasil negeri khususnya Yayasan Sabah selaku pemegang saham terbesar,” katanya di sini semalam.

Cek cura penyerahan dividen tersebut disampaikan Arsad diterima Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah sewaktu sesi kunjungan hormat lembaga pengarah SSB di sini semalam.

Arsad berkata, beliau menzahirkan penghargaan terhadap Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah atas kelulusan lanjutan pajakan tanah Sapangar.

“Tapak tanah milik sebuah anak syarikat Yayasan Sabah selama 30 tahun yang dijangka bakal memastikan kestabilan dan kelangsungan operasi SSB dalam sektor perladangan kayu, kelapa sawit dan pemprosesan di negeri itu, selaras dengan hala tuju kerajaan negeri.

“Kelulusan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah bagi lanjutan pajakan tanah Sapangar, anak syarikat Yayasan Sabah selama 30 tahun merupakan keputusan strategik dan penting,” jelas Arsad.

Menurutnya, ini bagi memastikan kelangsungan operasi serta kestabilan jangka panjang SSB dalam sektor perladangan kayu, kelapa sawit, dan pemprosesan, selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Hadir sama, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Seri Ghulamhaidar Khan Bahadar, Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation, Datuk Jasnih Daya serta Ketua Pegawai Eksekutif SSB, Datuk Mohd Daud Tampokong.

Sebagai rekod, SSB merupakan salah satu anak syarikat yang bernaung di bawah Yayasan Sabah.