LAHAD DATU : Ahli Majlis Daerah perlu mengamalkan sikap ‘going extra mile’ atau pergi lebih jauh membawa sekali gus sanggup melakukan lebih besar sekiranya mahu mencapai kejayaan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, ini merupakan sikap inilah yang akan membezakan antara sekadar melaksanakan tugas serta memberikan impak kepada rakyat.
Katanya, Going extra mile bermaksud Ahli Majlis Daerah sanggup memberikan perkhidmatan lebih jauh daripada yang diperlukan.
“Mereka perlu berusaha lebih daripada yang disyaratkan. Ini adalah kunci kepada kejayaan sebenar.
“Kita tidak boleh hanya bergerak atas landasan biasa, tetapi perlu berani melangkah lebih jauh untuk
mencapai kejayaan yang ditetapkan,” katanya.
Joachim berkata, dalam konteks Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pendekatan ini bermaksud ahli majlis bukan sahaja menjalankan tanggungjawab asas, tetapi juga turun padang mendengar suara rakyat.
“Ini penting bagi menyelesaikan isu setempat dengan proaktif serta sentiasa mencari ruang penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan.
“Usaha luar biasa itu perlu disertai dengan nilai-nilai integriti, amanah, kerjasama berpasukan dan kepercayaan,” jelas Jocahim.
Menurutnya beliau yakin dengan adanya kesungguhan dan komitmen berlandaskan kerjasama serta kepercayaan semua Majlis Daerah akan lebih cemerlang dan dihormati rakyat.