Hajiji Sambut Baik Langkah Sawit Kinabalu Perkenal OACP 2025-2029

KOTA KINABALU : Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyambut baik langkah Kumpulan Sawit Kinabalu memperkenalkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2025-2029.

Katanya, ia satu inisiatif strategik yang bertujuan memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus yang baik di semua peringkat organisasi.

Hajiji melihat kandungan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2025-2029.

“Kita menggalakkan semua jabatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mencontohi pendekatan seperti ini dalam memperkukuh nilai integriti dan meningkatkan kepercayaan rakyat
terhadap institusi kerajaan.

“OACP adalah satu inisiatif untuk mewujudkan pentadbiran yang cekap, berwibawa dan bebas rasuah,” katanya.

Hajiji merupakan Pengerusi Sawit Kinabalu berkata, pelaksanaan OACP bukan sekadar untuk memenuhi kehendak dasar, tetapi ia harus menjadi norma dalam budaya kerja bagi GLC dan agensi kerajaan.

Beliau berkata demikian selepas menerima OACP Kumpulan Sawit Kinabalu yang diserahkan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg di Menara Kinabalu, di sini semalam.

Turut bersama Victor dalam kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri ialah pasukan Bahagian Integriti dan Governans Sawit Kinabalu.