LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan maut selepas dipercayai dibaham buaya di Sungai Tagupi Darat, di sini, semalam.
Mangsa, Mohd Nazri Ahidin, seorang bukan warganegara, dilaporkan hilang kira-kira pukul 11 pagi sebelum bapanya menghubungi talian kecemasan MERS 999 pada pukul 12.06 tengah hari.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, mangsa ditemui orang awam kira-kira 300 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang sebelum ketibaan pasukan bomba.
Pemeriksaan mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kaki kiri dan pinggang belakang mangsa sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut, manakala operasi yang melibatkan empat anggota BBP Lahad Datu ditamatkan pada pukul 4.26 petang selepas keadaan disahkan selamat.
