KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) menafikan wujud rundingan dengan mana-mana parti politik, termasuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan kerajaan baharu di Sabah.
Ketua Penerangannya, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari, berkata andaian pelbagai pihak kebelakangan ini mengenai kemungkinan penjajaran baharu politik Sabah itu tidak akan berlaku.
Katanya, banyak pihak meramalkan WARISAN mungkin bekerjasama dengan UMNO bagi membentuk gabungan baharu yang bakal menggantikan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memerintah negeri ketika ini.
“Oleh kerana banyak andaian yang dikeluarkan penulis blog dan penganalisis politik, perlu saya tegaskan bahawa WARISAN tidak berunding atau berbincang dengan mana-mana parti politik, termasuk UMNO untuk menubuhkan kerajaan Sabah yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas itu menegaskan, WARISAN adalah parti pembangkang yang fokus dalam perjuangan untuk kebaikan rakyat Sabah dan Malaysia serta mahu meletakkan fungsi kerajaan ke landasan yang betul dan mematuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selain menghapuskan rasuah.
“WARISAN komited dalam perjuangan ini dan akan bekerja keras agar rakyat memahami dan menyokong perjuangan parti ini,” katanya merujuk dakwaan Sabah bakal mendapat kerajaan baharu yang lebih progresif menerusi gabungan BN dan WARISAN dalam masa terdekat.