Warisan minta Maximus perbetul andaian isu kemaruk kuasa – Mohd Azis

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) meminta presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili supaya membetulkan andaiannya bahawa  Warisan “kemaruk kuasa”.

Ketua Penerangan Warisan Datuk Mohd Azis Jamman berkata sekiranya Warisan kemaruk atau gila kuasa dan membelakangkan prinsip, presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal “mungkin masih lagi Ketua Menteri hari ini”

Katanya, jika ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri Warisan boleh menyertai kerajaan PN pada waktu itu dan seterusnya sokong Datuk Seri Ismail Sabri bagi memastikan Shafie kekal berkuasa.

“Namun Warisan memilih untuk mempertahankan prinsip dengan menongkah arus walaupun terpaksa kehilangan kerajaan negeri.

“Warisan bukan parti katak yang lompat mengikut siapa yang berkuasa di Putrajaya. Bila Maximus sebut power hungry, bukankah cubaan membeli ADUN daripada warisan itu adalah power hungry sanggup merasuah dan tawarkan jawatan demi memastikan gabungan hari ini berkuasa adalah tindakan power hungry?

“Semasa pilihan raya, PBS lawan Star kemudian kerana Power Hungry, PBS sanggup duduk sebantal bersama STAR dan PAS untuk bentuk kerajaan bersama? katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azis berkata, parti itu hanya mempersoalkan kesahihan Datuk Seri Hajiji Noor untuk kekal sebagai Ketua Menteri Sabah dengan mengambil kira kedudukan undang-undang negeri Sabah.

“Warisan tidak berniat alih kuasa pemerintahan negeri Sabah.

“Kami hanya meminta mereka supaya membetulkan masalah perundangan yang dengan jelas melanggar peruntukan Perlembagaan Negeri Sabah.

“Datuk Maximus selaku orang yang faham undang-undang patut jangan butakan mata sebab dia sendiri bersumpah untuk memelihara, mempertahankan, melindungi Perlembagaan Sabah,” katanya.

Beliau berkata perlanggaran peruntukan Perlembagaan Sabah akan menjadi kes duluan yang menjadi ikutan (precedent) kepada situasi serupa pada masa akan datang.

Azis berkata Perlembagaan Sabah menyatakan Ketua Menteri hendaklah dilantik daripada Ketua Parti kepada parti yang bertanding semasa pilihanraya.

“Maximus selaku orang yang berpelajaran sanggup kelihatan bodoh dengan membutakan mata apabila hajiji yang jelas telah melanggar perlembagaan Sabah dibiarkan melanggar perlembagaan yang mereka sendiri telah bersumpah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan.

“GRS didaftarkan pada 2022 dan pilihanraya negeri pada 2020 dan perlembagaan Sabah jelas menyebut bahawa Ketua Menteri hendaklah di lantik daripada kalangan ketua parti yang bertanding semasa pilihanraya?

“Hajiji bukan ketua parti walaupun dia sebut dia ketua parti GRS dan Parti GRS adalah gabungan parti-parti. Buktinya, Hajiji sendiri terpaksa ambil alih parti baru untuk jadi ketua. Jika GRS adalah parti, kenapa Hajiji perlu tubuhkan parti baru?.

“Jangan butakan mata hanya kerana ingin kekal berkuasa. Janganlah matlamat menghalalkan cara walaupun terpaksa mencabuli Perlembagaan Sabah,” katanya.

Mohd Azis berkata, bagaimana membetulkan keadaan,

mintalah Hajiji dan rakan lain lompat lagi masuk Parti Star dan jadikan Dr Jeffery Kitingan Ketua Menteri sebab Jeffrey adalah ketua parti yang bertanding masa pilihanraya atau meminda Perlembagaan Sabah dengan membatalkan dan mengubah perkataan “ketua parti”.

“Itulah yang Warisan perjuangkan dan minta diperbetulkan dari awal-awal lagi. Adakah kerana ‘Power Hungry’ pemimpin GRS ini sanggup melacuri dan mencabuli perlembagaan Sabah yang sepatutnya dilindungi dan dipertahankan.

“Bukankah dengan menyokong Muhyiddin dan menukar sokongan selang sehari kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim juga adalah tindakan power hungry sanggup menjilat ludah sendiri demi kekal berkuasa,” katanya.

Mengenai tindakan UMNO dan PKDM menarik sokongan kepada Hajiji, Mohd Azis mengingatkan Maximus bahawa Warisan tidak pernah menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri.

“Kami gembira dan selesa memainkan peranan sebagai pembangkang di Sabah namun berlaku kerengagan hubungan antara GRS dan UMNO. Pergeseran antara GRS dan UMNO atau Hajiji dan Datuk Bung Moktar Radin tiada kena mengena dengan Warisan.

“Penarikan sokongan UMNO dan PKDM terhadap Hajiji adalah masalah rumahtangga gabungan awal PN dan BN di Sabah, maka apa pun persetujuan dan perjanjian mereka dahulu Warisan tidak pernah tahu…itu masalah “perkahwinan” mereka….kenapa salahkan Warisan?,” katanya.