Warisan kini ‘hilang sokongan’ rakyat menjelang PRN17 – Nizam

KOTA KINABALU : Parti Warisan (Warisan) perlu sedar hampir setiap hari kehilangan ‘Ahli serta Pemimpin apabila mereka hampir ditolak rakyat khususnya di peringkat akar umbi.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kenyataan Ketua Wanita Warisan, Norfaizah Chua kononnya rakyat Sabah memberikan sokongan kepada Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya menyedapkan hati sendiri berikutan tiada bukti rakyat akan memberi sokongan kepada mereka.

Katanya, sepatutnya Ketua Wanita ini cermin muka terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan berikutan parti itu sudah ditolak rakyat pada PRN tahun 2020.

“Warisan sekali lagi dihukum oleh rakyat pada PRU15 apabila hanya dapat mempertahankan tiga kerusi Parlimen daripada lapan yang telah dimenangi pada PRU14.

“Ini termasuklah kekalahan teruk Timbalan Presiden dan Ketua Wira Parti yang tewas kepada pencabar masing-masing pada PRU lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, memang betul Warisan pernah menjadi kerajaan negeri selepas PRN 2018 disebabkan oleh lompatan beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) pada ketika itu.

“Dalam sejarah Warisan tidak memenangi PRN…Tetapi boleh dikatakan Warisan menjadi kerajaan hanya sebagai rekod, tiada tanda-tanda atau kesan positif yang boleh dibanggakan oleh rakyat di negeri ini.

“Apa yang paling diingati rakyat ialah gaya hidup pemimpin parti itu yang telah berubah, sedangkan rakyat tidak mendapat apa-apa pembelaan sejak mereka memerintah Sabah,” jelas Nizam.

Menurutnya, Warisan tidak mempunyai hala tuju selain hanya pandai bercakap kosong, bermain politik tidak matang serta mendendangkan isu-isu yang mereka sendiri gagal untuk menyelesaikannya.

“Sikap pemimpin seperti ini, sudah pasti rakyat akan menolak parti Warisan pada PRN akan datang.

“Pemimpin Warisan sangat bimbang apabila semakin banyak projek-projek kerajaan untuk kepentingan rakyat direalisasikan, maka semakin hanyutlah mereka dan mungkin terkubur selama-lamanya,” tambah Nizam.

Beliau menambah, cerita rekaan pemimpin Warisan disampaikan Cyber trooper’ upahan hanya memakan diri sendiri berikutan semakin hari terdedah apa hanya cerita bohong dan fitnah semata-mata.