Warga emas maut tertimbus tanah runtuh ketika cuba hidupkan genset

SANDAKAN: Cubaan seorang lelaki warga emas menghidupkan generator hotel berakhir tragedi apabila dia maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di belakang sebuah hotel di pusat bandar Sandakan pagi tadi.

Mangsa, Agustine Frederick J Lingam, 76, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.39 pagi sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan dikerahkan ke lokasi.

Komander Operasi PBK I Haris Mustapha berkata, hujan lebat menyebabkan bekalan elektrik di hotel terbabit terputus sebelum mangsa cuba menghidupkan generator di belakang bangunan.

“Pasukan bomba mendapati mangsa tertimbus separuh badan akibat runtuhan tanah dan operasi menyelamat dijalankan segera,” katanya.

Mangsa berjaya dikeluarkan pada 7.14 pagi, namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.