Wanita Umno Diminta Gandakan Usaha Bantu BN hadapi PRN – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Wanita Umno dingatkan agar sentiasa peka serta memberi tumpuan kepada keperluan rakyat sepanjang masa dan bukan hanya pada musim pilihan raya umum sahaja.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, anggota dan pimpinan Wanita UMNO  perlu  memahami bahawa perjuangan mendekati rakyat bukan bermusim. 

“Wanita UMNO perlu melipat gandakan usaha membantu memperkasakan parti selaras dengan jajaran baharu UMNO Sabah khususnya dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat Wanita UMNO Sabah di Pejabat Perhubungan UMNO Sabah dekat sini hari ini.

Rombongan tersebut diketuai oleh Ketua Wanita UMNO Sabah Senator Datuk Noraini Idris dan majlis turut dihadiri bersama Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Arifin serta Pengarah Jabatan Pilihanraya UMNO Sabah Jeefrey Nor Mohamed.

Pada majlis tersebut Noraini turut memperkenalkan Ketua Ketua Wanita UMNO dari 25 bahagian yang majoritinya  terdiri dari muka muka baharu.

Dalam pada itu Bung Moktar merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO meminta agar mereka yang tewas dalam pemilihan Wanita UMNO bahagian baru-baru ini turut diberikan tempat dalam kepimpinan Wanita UMNO bahagian yang baharu.

Menurut beliau pengalaman bekas-bekas Ketua Wanita UMNO bahagian boleh dikongsikan bersama kepimpinan baharu bagi membentuk satu pasukan yang kuat dan ianya juga dapat mengelakan perpecahan dalam parti,

“Pemilihan hanya proses demokrasi dalam parti, keutamaan kita ialah mendahulukan kepentingan parti ,justeru semua pihak yang menang atau kalah selepas pemilihan perlu bersatu semula” tegas Bung

Bung yang juga Ketua UMNO bahagian Kinabatangan turut meminta Wanita UMNO agar bermula dari sekarang berkerja proakktif dalam membuat bancian terkini data pemilih sebagai persediaan menghadapi PRN.

“Kita perlu bermula dari sekarang dengan gerak kerja yang konsisten, perlaksanaa program program mendekati ahli dan rakyat di peringkat akar umbi tidak perlu dalam skala besar yang penting Wanita UMNO sentiasa ada di samping rakyat khususnya mereka yang ditimpa musibah,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah meminta semua ahli UMNO khusunya Wanita untuk menerima gabungan dalam Kerajaan Perpaduan dengan berlapang dada bagi memastikan kestabilan politik Malaysia terus terpelihara.

Menurut beliau gabungan tersebut perlu diterima semua pihak memandangkan politik Malaysia bersifat dinamik dan sukar untuk diramal.

“Ingatlah, kita bukan lagi sebuah parti dominan, kita tidak akan bertanding semua kerusi. Kita perlu bermuafakat dan perlu berkompromi demi membawa kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan yang kita dukung bersama,” katanya.