TAWAU: Seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bombalai ke Merotai, di sini, pagi tadi selepas kenderaan dipandunya dipercayai memasuki laluan bertentangan.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, mangsa berusia 38 tahun yang memandu Perodua Viva disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang dalam perjalanan dari arah bandar Tawau menuju ke Merotai dipercayai terlelap ketika melalui satu selekoh.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan kenderaan dipandu mangsa memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Proton Saga yang dipandu wanita berusia 35 tahun.
“Akibat pelanggaran itu, kenderaan mangsa berpusing semula ke laluannya sebelum bertembung dengan sebuah Toyota Hilux dipandu wanita berusia 31 tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan JBPM.
Katanya, pemandu Proton Saga mengalami kecederaan di bahagian tengkuk dan perut, manakala pemandu Toyota Hilux tidak cedera.
“Siasatan lanjut mendapati mangsa bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Tawau dan dipercayai dalam perjalanan pulang selepas tamat syif kerja.
“Semakan turut mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu yang sah,” katanya.
Beliau berkata, kemalangan itu turut dirakam kamera papan pemuka kenderaan Toyota Hilux berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
