23 struktur haram diroboh di Kota Kinabalu, disyaki lindungi PATI

KOTA KINABALU: Sebanyak 23 struktur haram di kawasan hutan berbukit berhampiran Taman Bukit Sepanggar dan Kampung Bandulan dirobohkan dalam operasi bersepadu semalam.

Operasi bermula 1.45 petang itu melibatkan Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama polis.

DBKK berkata, struktur sementara itu dipercayai dijadikan tempat persembunyian bagi mengelak tindakan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Semua binaan menggunakan kanvas dan kayu, terletak di kawasan curam serta tidak mempunyai kemudahan asas,” menurut kenyataan itu.

Seorang lelaki turut ditahan, manakala operasi berakhir kira-kira 6 petang.