KOTA KINABALU: Wakil rakyat mewakili kerajaan serta pembangkang perlu terlibat dalam pengurusan bencana di negeri ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Ali berkata, keterlibatan setiap wakil rakyat adalah penting dalam memastikan kualiti pengurusan bencana di peringkat daerah dapat ditingkatkan lagi.
“Antara penambahbaikan yang dilaksanakan dalam pengurusan bencana adalah melibatkan semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam daripada semua kawasan tanpa mengira daripada kerajaan mahupun pembangkang.
“Bermula bulan Januari lepas, pekeliling telahpun dikeluarkan agar semua wakil-wakil rakyat dilibatkan sebagai ahli dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah.
“Bencana tidak mengenal logo atau warna parti politik, semua diiktiraf sebagai pemegang taruh yang memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan bencana dapat ditingkatkan,” katanya di sini hari ini.
Armizan memaklumkan pihaknya berusaha untuk mewujudkan premis operasi bagi 45 pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) daerah.
“Sehingga ke hari ini, sebanyak 45 pejabat APM belum mempunyai premis pejabat sendiri yang mana kebanyakannya adalah di Sabah dan Sarawak.
“Sehubungan dengan itu, kita masih berusaha untuk menyediakan premis operasi APM ini antaranya mewujudkan kerjasama dengan kerajaan negeri dan juga syarikat swasta,” katanya.
Bengkel anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu disertai 100 penjawat awam daripada 17 agensi kerajaan persekutuan dan negeri antaranya, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Penerangan Negeri Sabah, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.