Video tular Menteri Kesihatan mengenai dos penggalak video lama, kata KKM

KUALA LUMPUR: Video sidang media oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai pemberian dos penggalak Covid-19, yang tular sejak semalam adalah petikan video September tahun lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), video lama bertarikh 20 Sept 2021 itu dipetik daripada sidang media Khairy ketika membuat rangka lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas meninjau perkhidmatan saringan Covid-19 di KLIA.

“Pada waktu itu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi dos pertama dan dos kedua masih giat dilaksanakan. Kadar vaksinasi lengkap bagi penduduk dewasa ketika itu adalah 79.6%, masih belum mencapai sasaran 90% populasi dewasa.

“Aktiviti rentas negeri masih belum dibenarkan manakala aktiviti keluar masuk negara juga masih dikawal ketat,” kata KKM di Facebook dilaporkan dalam FMT hari ini.

Malah KKM berkata, pemberian dos penggalak secara menyeluruh belum lagi bermula pada September 2021.

“Pemberian dilaksanakan secara berperingkat dengan memberikan keutamaan pada ketika itu kepada golongan rentan terdiri dari warga emas, mereka yang ada ko-morbid dan golongan yang terdedah kepada risiko jangkitan,” katanya.

Jelas KKM, hanya setelah majoriti golongan tersebut telah menerima dos penggalak, barulah vaksinasi dos penggalak dibuka kepada populasi awam yang layak.

“Pemberian booster ini diperlukan berdasarkan perkembangan semasa pemantauan keberkesanan vaksin serta cabaran yang dihadapi dengan kemunculan varian baharu virus Covid-19.

“Banyak negara yang tawarkan booster kepada populasi dewasa mereka seperti United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Thailand, Indonesia, dan Singapura,” katanya.

Terdahulu, tular video sidang media oleh Khairy di media sosial yang turut menjadi pertikaian warganet selepas Menteri Kesihatan itu berkata suntikan dos ketiga hanya boleh diberikan kepada mereka yang benar-benar layak mengikut saranan pakar.