KUALA LUMPUR: Tindakan pantas kerajaan dari segi pemberian vaksin menyaksikan kes positif COVID-19 yang serius mencatatkan penurunan ketara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata keberkesanan program vaksinasi boleh dilihat apabila ada jumlah pesakit COVID-19 kategori 4 dan 5 dalam kalangan warga emas merekodkan penurunan.
“Contohnya, dalam kalangan kumpulan warga emas iaitu 60 tahun ke atas, trend kemasukan ke Hospital Sungai Buloh bagi kes positif kategori 4 dan 5 mengalami penurunan melebihi 50 peratus dalam tempoh sebulan yang lalu.
“Kumpulan warga emas adalah Fasa 2 dalam pemberian vaksin COVID-19 dan kini impak positif pemberian vaksin ini mulai dapat dilihat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Antara langkah lain diambil kerajaan bagi mempercepat pemberian vaksin adalah mulai hari ini, warga emas berusia 60 tahun dan ke atas yang belum mendapat janji temu boleh hadir secara terus atau ‘walk in’ di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Selangor dan Kuala Lumpur.
Selain warga emas, Muhyiddin berkata pemberian vaksin juga memberi kesan positif apabila mereka yang dijangkiti COVID-19 hanya mengalami gejala ringan atau tidak bergejala.
Katanya, ada juga pesakit COVID-19 yang menerima suntikan vaksin tidak tergolong pesakit kategori 5.
“Begitu juga bagi petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di mana mereka menerima vaksin COVID-19 lebih awal lagi. Didapati hanya 1.26 peratus dalam kalangan petugas KKM dijangkiti COVID-19 selepas lengkap divaksin.
“Sebanyak 99.8 peratus daripada mereka pula hanya mengalami gejala ringan atau tidak bergejala dan tiada yang mengalami COVID-19 kategori 5,” katanya.
Mengambil contoh di Labuan, Perdana Menteri berkata jumlah kes positif dan kematian juga berkurangan dengan program vaksinasi.
“Labuan, iaitu tempat di mana varian Delta mula dikesan di negara kita. Kerajaan mengambil tindakan segera dengan menambah bekalan vaksin untuk Labuan.
“Hasilnya, jumlah kes positif dan kes kematian akibat COVID-19 di Labuan dapat dikurangkan dengan peningkatan kadar vaksinasi,” katanya.
Berdasarkan penjelasan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa 90 peratus kes positif COVID-19 dalam negara membabitkan kategori 1 dan 2, Perdana Menteri berkata data berkenaan berita yang agak melegakan.
Katanya, ini bermakna kebanyakan pesakit adalah tidak bergejala dan bergejala ringan mampu untuk pulih semula.
Justeru, dengan pelaksanaan ‘Operation Surge Capacity’ (operasi lonjakan kapasiti) di Kuala Lumpur dan Selangor, beliau berkata ia adalah tindakan segera kerajaan untuk menangani kenaikan kes positif secara mendadak.
“Semalam YB Khairy (Jamaluddin) dan YB Datuk Seri Dr Adham (Baba) mengumumkan pelaksanaan ‘Operation Surge Capacity’ untuk Kuala Lumpur dan Selangor.
“Semua 6.1 juta populasi dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 menjelang 1 Ogos 2021.
“Ini melibatkan pemberian vaksin pada kadar 1.3 juta dos sehingga 25 Julai 2021 dan 1.3 juta dos lagi antara 26 Julai hingga 1 Ogos 2021.
“Sehingga kini, 3.5 juta populasi dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin,” katanya.
Selain strategi vaksinasi, Perdana Menteri turut mengarahkan KKM supaya lebih bersedia untuk menerima kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital dan memberikan rawatan yang terbaik memandangkan dunia sedang mencatatkan trend kenaikan kes termasuk kewujudan varian baharu yang lebih ganas.
“Kita semua sedang berusaha untuk melawan COVID-19. Kita mesti sentiasa tabah dan cekal untuk terus lawan dan lawan. Insya-Allah, kita akan menang akhirnya,” katanya.
Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang mengumumkan pelaksanaan operasi lonjakan kapasiti berkata, ia berdasarkan persetujuan sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk perbincangan secara lanjut di peringkat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF).
Menerusi operasi itu, Khairy dilaporkan berkata keupayaan dan kapasiti vaksinasi di Lembah Klang akan ditingkatkan, susulan pelaksanaan operasi berkenaan, dari 180,000 dos sehari kepada 272,000 dos sehari.
Sejak seminggu lalu, jumlah vaksinasi harian melebihi 400,000 dos dan menerusi Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) membolehkan pekerja sektor pembuatan dan perkilangan divaksin secara besar-besaran bagi membolehkan sektor ekonomi kembali beroperasi dalam tempoh terdekat.