UMS unggul kebolehpasaran graduan, pilihan majikan

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mengukuhkan kedudukan sebagai institusi pendidikan tinggi pilihan apabila diiktiraf sebagai peneraju kebolehpasaran graduan nasional di bawah Talentbank Graduate Employability Index.

Pengiktirafan itu dibuat berdasarkan penilaian lebih 1,200 majikan di seluruh negara yang menilai tahap kompetensi, kesediaan bekerja serta prestasi graduan di tempat kerja.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata pencapaian berkenaan membuktikan keberkesanan pendekatan universiti dalam menyelaraskan pendidikan dengan keperluan industri semasa.

“UMS bukan sekadar menawarkan pendidikan, tetapi menyediakan laluan jelas ke arah kerjaya masa hadapan,” katanya.

Menurutnya, penilaian berasaskan majikan kini menjadi indikator penting dalam menentukan nilai sebenar sesebuah institusi pendidikan tinggi.