KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak pernah menyokong sebarang usaha kumpulan pelajar universiti mahu menganjurkan perhimpunan di tempat awam bagi sebarang kempen atau protes terhadap isu air mahupun apa-apa jua isu semasa tempatan di negeri ini.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, UMS pada dasarnya tidak akan membenarkan sebarang aktiviti yang boleh mewujudkan ketidakselesaan atau gangguan terhadap ketenteraman awam.
Katanya, UMS tidak pernah menggalakkan pelajarnya untuk mengadakan perhimpunan atau aktiviti di tempat awam yang tidak mendapat permohonan daripada pihak berkuasa.
“Universiti percaya sebarang isu boleh disuarakan mengikut prosedur dan saluran yang betul, dan tidak mengambil tindakan secara membuta tuli.
“UMS mengecam tindakan kumpulan pelajar itu yang cuba mengajak pelajar-pelajar universiti serta orang awam untuk turun bersama ke perhimpunan tersebut yang bukan sahaja boleh menyebabkan gangguan terhadap ketenteraman awam, malah turut akan menjejaskan imej universiti,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kasim berkata demikian dalam satu kenyataan susulan satu Kempen Perhimpunan #KamiMahuAir Sabah pada 14 Jun di hadapan Menara Kinabalu yang dilancarkan melalui laman Facebook Suara Mahasiswa UMS.
“UMS menyeru kumpulan pelajar terbabit agar menghentikan kempen dan usaha untuk mengadakan perhimpunan tersebut, serta memberi ruang kepada pelajar universiti lain untuk fokus dalam pengajian mereka di universiti.
“Siswa-siswi juga disarankan agar tidak terikut-ikut untuk menyertai perhimpunan mahupun aktiviti yang tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa,” katanya.
Menurunya, tiada keperluan kepada pelajar UMS mengadakan demonstrasi berkaitan isu air kerana isu tersebut sentiasa diikuti rapat Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud yang kerap mengadakan lawatan ke UMS.
“Hampir setiap bulan Timbalan Menteri ini meninjau perkembangan terhadap kemajuan projek berkaitan bekalan air dalam usaha memastikan bekalan air dapat disalurkan secukupnya di dalam kampus UMS.
“UMS juga sedia maklum bahawa pihak Kerajaan Negeri juga telah melakukan yang terbaik untuk menangani bekalan air khususnya di kawasan UMS dan persekitarannya,” jelas Kasim.