UMS bersama Beta Maju Sdn. Bhd. Jalin Kerjasama Strategik dalam Sains Sukan

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) memeterai satu kerjasama strategik bersama syarikat Beta Maju Sdn. Bhd sebagai usaha mengembangkan bidang sains sukan.

Kerjasama tersebut dimeterai dalam satu majlis menandatangani Surat Niat (LOI) antara kedua-dua pihak di FPPS, UMS.

Dekan FPPS, Prof. Madya Dr. Soon Singh mewakili UMS menandatangani LoI tersebut, manakala Beta Maju diwakili Pengarah Urusannya, Fadzrul Dullie.

Menerusi LoI tersebut, kedua-dua pihak bakal memperkukuh kolaborasi dalam penyelidikan ergogenik pemakanan, pembangunan produk makanan prestasi, dan pemasaran sains sukan. 

Sementara itu dalam perkembangan sama, Soon Singh berkata kerjasama tersebut merupakan langkah strategik menghubungkan kepakaran akademik UMS bersama industri menerusi rangkaian Eureka Drinks dipasarkan syarikat tersebut. 

“LOI ini bukan sekadar kolaborasi dalam penyelidikan tetapi merangkumi pemasaran produk dan pelaksanaan projek berkaitan sains sukan.

“Selain itu, ia memberi fokus kepada hubungan antara universiti dan industri, menyediakan peluang latihan industri kepada pelajar sains sukan serta potensi kerjasama dalam bidang lain,” katanya.

Menurutnya, kerjasama tersebut dijangka membuka dimensi baharu dalam pembangunan sains sukan di Malaysia, selain memberikan impak positif kepada pelajar, universiti serta industri.  

“Aspirasi bersama ini diyakini mampu memacu kemajuan dalam penyelidikan dan inovasi serta memperkukuhkan hubungan antara universiti dan sektor swasta,” jelas Soon Singh.

Sementara itu, Fadzrul turut menyatakan keyakinan beliau terhadap sinergi yang bakal dilaksanakan kedua-dua pihak kelak.

“Kami menyambut baik kerjasama ini, terutamanya selepas melihat fasiliti dan kepakaran FPPS.

“Sebelum ini, kami bekerjasama dalam beberapa projek sebagai penaja, dan ini memperkukuhkan keyakinan kami terhadap peluang situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak,” katanya.