JAPEN Labuan diseru tingkatkan persefahaman laksanakan visinya- Julina

LABUAN : Warga Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Wilayah Persekutuan Labuan disaran untuk meningkatkan persefahaman dalam melaksanakan sebarang visi jabatannya.

Ketua Pengarahnya, Julina Johan berkata, warga JAPEN di Labuan jperlu ada bersama dalam melaksanakan tugas agar mampu membawa impak positif kepada jabatan.

Katanya, persefahaman serta kebersamaan dalam melaksanakan visi mendorong sinergi baik.

“Ini sekali gus boleh memberi sumbangan besar kepada jabatan dalam mencapai apa juga misi serta visi ditetapkan.

“JAPEN Labuan perlu meneruskan kecemerlangan dicapai pada 2024 kemudiannya diteruskan untuk Tahun Baharu 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan perjumpaan bersama kakitangan JAPEN Labuan di sini semalam.

Julina dalam rangka lawatan kerja ke Labuan turut menyeru agar prestasi kerja dapat dipertingkatkan serta memberi perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

“Ini selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin melihat penjawat awam dapat meningkatkan produktiviti kerja dari masa ke semasa,” jelas Julina.

“Kita berharap agar JAPEN Labuan dapat meneruskan kerjasama dengan pemegang taruh seperti agensi Komuniti Madani bagi menjadi pemudah cara efektif sekali gus meningkatkan imej jabatan,” kata Julina.

Beliau menghadiri Majlis Penyerahan Projek Siap Kerja Penyelengaraan dan Pembaikan di Kompleks Kementerian Komunikasi Wilayah Persekutuan Labuan kelolaan Jabatan Kerja Raya.

Hadir sama Pengarah Kanan (Pengurusan) JAPEN, Naim Fahmi Ahmad Tajudin, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JAPEN, Mohammad Najmi Mustapha serta Pengarah JAPEN Wilayah Persekutuan Labuan, Azman Sipan.