KOTA KINABALU : Seorang lagi penjenayah yang dikehendaki selepas dipercayai terbabit dalam beberapa jenayah termasuk kes bunuh berjaya ditembak mati, awal pagi semalam.
Lelaki berusia 59 tahun disahkan meninggal dunia dalam insiden berbalas tembakan dengan pihak berkuasa di sebuah bangunan di Jalan Undan berhampiran Terminal Bas Inanam, di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah, Datuk Azmi Abdul Rahim berkata, suspek dipercayai rakan kepada tiga penjenayah yang ditembak mati dalam kejadian di Beverly Hill, Bundusan, pada Selasa.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota JSJ D9 (Siasatan Khas) bertindak menyerbu sebuah bilik di bangunan berkenaan.
“Ketika serbuan dijalankan, suspek yang menyedari kehadiran pihak berkuasa bertindak melepaskan tembakan ke arah polis.
“Pasukan operasi terpaksa membalas tembakan bagi melindungi keselamatan anggota sebelum suspek disahkan mati di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui, di lokasi kejadian, semalam.
Azmi berkata, suspek yang berasal dari Sarawak dipercayai rakan sejenayah kepada tiga penjenayah yang ditembak mati semalam.
“Kita percaya suspek ini adalah rakan kepada tiga penjenayah yang ditembak mati kerana terbabit dalam beberapa kes jenayah termasuk kes bunuh di Sarawak.
“Dengan tumpasnya keempat-empat suspek ini, polis Sabah berjaya menumpaskan semua penjenayah yang dikehendaki sebelum ini,” katanya.
Bagaimanapun katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut.
Pada Selasa lalu, pasukan polis dari D9 JSJ Kontinjen Sabah berjaya menembak mati tiga penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di lokasi persembunyian mereka di Beverly Hill, Bundusan.
Dalam kejadian jam 9.13 malam itu, ketiga-tiga penjenayah yang juga berasal dari Sarawak berusia lingkungan 40 hingga 50-an mati di lokasi kejadian.