PADANG TERAP: UMNO menafikan barisan kepimpinannya terbahagi kepada dua kelompok ketika ini, sebaliknya pentadbiran parti berjalan baik di bawah Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata tidak wujud sebarang kelompok dalam pucuk pimpinan parti itu, walaupun jawatan Perdana Menteri tidak disandang Presiden UMNO secara tradisi.
Jelasnya, apa yang berlaku adalah sekadar persepsi pihak luar yang mengatakan pemimpin UMNO terbahagi kepada kelompok tertentu pada waktu ini.
“Saya boleh sahkan segala-galanya adalah baik di peringkat Pusat dan kita minta jangan wujudkan pandangan seolah-olah ada dua kelompok dalam UMNO kerana ia tidak wujud.
Beliau berkata demikian laporan Berita Harian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Baucer Persekolahan 2022 Parlimen Padang Terap di sini, semalam.
Terdahulu beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan mengatakan kepimpinan UMNO terbahagi dua antara Ahmad Zahid dan Naib Presiden yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Mengulas lanjut, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, situasi ketika ini sememangnya berbeza kerana Naib Presiden UMNO buat pertama kali menjadi Perdana Menteri.
“Apabila ada pelantikan Perdana Menteri, ini buat pertama kali Naib Presiden menjawat jawatan itu, selalunya Perdana Menteri adalah Presiden parti.
“Maka, apabila Naib Presiden jadi Perdana Menteri, maka Presiden akan uruskan parti. Setakat ini, jelas Ismail Sabri adalah Perdana Menteri, manakala Ahmad Zahid adalah Presiden parti,” katanya.