TAWAU : UMNO Tawau sedang merangka satu strategi khas bagi memudahkan jentera pergerakan Pemuda dan Puteri menjalankan program meraih sokongan pengundi muda di daerah ini.
Ketua UMNO Bahagian Tawau, Ghazalie Ansing berkata, pihaknya sangat optimis parti ini sentiasa dapat memenuhi cita rasa semua lapisan pengundi terutamanya golongan anak muda.
Katanya, jentera UMNO Tawau sentiasa bergerak seiring dengan peredaran zaman untuk mendapatkan lebih ramai sokongan dalam kalangan pengundi berusia 40 tahun ke bawah.
“Kita sedia maklum bahawa umur mengundi secara automatik bermula dari 18 tahun dan 21 peratus jumlah pengundi adalah golongan muda.
“Justeru, kita akan bekerja keras memenangi hati pengundi muda terutamanya yang baharu tamat belajar supaya menyokong dan menjadi ahli UMNO di daerah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tawau, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, program berterusan di peringkat Pemuda dan Puteri terus dipergiat supaya jentera ini dapat merekrut ahli baharu setiap masa.
“Jentera muda dalam UMNO sentiasa diberikan pembaharuan supaya mereka mudah melaksanakan aktiviti dan kerja politik yang telah dirancang.
“Setakat ini pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Tawau berada pada landasan yang tepat dan mempunyai hala tuju seperti diharapkan,” katanya.
Sementara itu, Ghazalie berharap pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Tawau dapat bersidang dengan baik serta dapat menentukan hala tuju dengan betul.
“Sangat berharap mereka dapat memberikan usul dengan bernas bagi memajukan sekali gus memantapkan sayap Pemuda dan Puteri bagi memperkukuhkan parti UMNO,” katanya.