UMNO sedia letak calon tanding di Parlimen Beaufort – Awang Aslee

BEAUFORT: Umno Bahagian Beaufort bersedia meletakkan calon untuk bertanding di Parlimen Beaufort menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Ketuanya, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, kerusi Parlimen Beaufort dahulunya dimenangi UMNO sebelum penyandangnya berpindah ke parti lain sekali gus bersedia untuk mengekalkannya menjelang PRU akan datang.

Katanya, UMNO mengambil pendirian akan meletakkan calonnya sekali gus kini sedang mengenal pasti individu yang berkelayakan untuk bertanding di parlimen tersebut.

“Tidak ada alasan bagi UMNO untuk tidak meletakan calon pada PRU akan datang memandangkan kawasan Parlimen Beaufort sebelum ini adalah dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) yang diwakili oleh Umno.

“Hanya bila berlakunya rentas parti oleh Ahli Parlimennya tanpa persetujuan sepenuhnya dari kalangan ahli Umno bahagian itu dengan mudah beralih kepada parti lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat cawangan berkelompok bagi daerah mengundi Melabau dalam Parlimen Beaufort, di sini hari ini.

Awang Aslee berkata, meskipun berlaku rentas parti, Umno Bahagian Beaufort masih wujud manakala tidak ada cawangan yang dibubarkan sekali gus melambangkan struktur UMNO masih kukuh.

“Setakat ini terdapat lebih 224 cawangan UMNO masih berfungsi seperti biasa serta ahlinya kini bersiap sedia untuk menghadapi PRU-15 pada bila-bila masa.

“Kita yakin ahli yang ada terdiri daripada mereka yang setia kepada perinsip perjuangan dan tidak ada sebab bagi mereka melepaskan kawasan ini yang dahulunya dimenangi UMNO,” katanya.