Belia perlu berani ceburi bidang keusahawanan – Masiung

TONGOD: Reputasi negara melahirkan ramai tenaga pakar profesional serta usahawan muda bertaraf global wajar menjadi penyuntik semangat kepada golongan belia di negeri ini.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah berkata, golongan muda perlu mencabar bakat diri untuk keluar daripada kemelut ekonomi sekali gus mencuba kebolehan menerusi kemahiran sendiri.

Katanya, belia jangan terlalu mengharapkan mencari pekerjaan makan gaji sebaliknya perlu menceburi bidang usahawan lebih terbuka luas di hadapan mereka.

“Sikap putus asa selepas gagal mendapat sebarang pekerjaan di sektor awam serta swasta perlu dikikis memandangkan cabang keusahawanan lebih banyak mendatangkan hasil lumayan.

“Golongan belia yang gagal mendapat sebarang pekerjaan memilih kepada makan gaji wajar bertukar kepada memilih bidang perniagaan, sesuai dengan kemahiran peribadi,” katanya.

Beliau berucap ketika merasmikan Majlis penutupan Program Kepimpinan Belia, Cabaran dan Cinta Alam anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KKBS) Sabah, di Dewan Mini Millian Centre Imbak Canyon di sini, hari ini.

Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuamut berkata, jika golongan muda masih gagal mengambil peluang kerjaya dalam dunia sains dan teknologi moden pada masa kini sudah tentu mereka akan ketinggalan jauh ke belakang.

Di majlis itu seramai, 34 peserta terdiri dari pemimpin persatuan belia daripada Tongod, Telupid dan Ranau menyertai program berlangsung selama tiga hari.