UMNO sedia letak calon di PRK DUN Bugaya – Bung Moktar

SEMPORNA: UMNO Sabah bersedia meletakkan calon sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya diadakan dalam tempoh terdekat.

Ketuanya, Datuk Bung Moktar Radin berkata, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, UMNO tidak meletakkan calon untuk bertanding sekali gus diwakili calon dari BERSATU, Daud Tampokon.

Katanya, ketika itu calon BERSATU tewas ditangan Parti WARISAN yang diwakili Manis Muka Mohd Darah.

“Kita jangkakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemungkinan akan mengadakan PRK di Bugaya dalam masa terdekat berikutan perkembangan Covid-19 yang semakin menurun di negara ini.

“UMNO sudah lama bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk akan meletakkan calon untuk bertanding di PRK DUN Bugaya,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam kenyataan hari ini selepas mengadakan perjumpaan kepimpinan Umno Semporna di sini hari ini.

Bung Moktar berkata, ketika ini UMNO sudah mengambil kira beberapa aspek terutamanya dari segi sokongan rakyat di kawasan berkenaan.

“Kita memang akui pengaruh Presiden WARISAN Datuk Seri Shafie Apdal masih kuat di DUN Bugaya namun situasi politik sekarang dilihat semakin berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

“Ini dibuktikan dalam beberapa siri PRK dan terkini kemenangan bergaya BN semasa PRN Melaka, baru-baru ini,” katanya.

Pada PRN lalu, Manis Muka mempertahankan kerusi DUN Bugaya selepas menewaskan enam pencabar lain dengan majoriti sebanyak 6,005 undi.