KOTA KINABALU: UMNO Sabah mengulangi pendirian untuk kekal bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO Sabah mengambil pendekatan berbeza berbanding situasi politik di Semenanjung Malaysia kerana UMNO Sabah perlu menghormati mandat yang rakyat berikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16.
Kini, mereka akan memberi fokus kepada pembangunan di negeri ini dan UMNO Sabah perlu bersolidariti dengan GRS kerana ianya penting bagi memastikan janji yang diberikan kepada rakyat dalam PRN-16 lalu dapat direalisasikan.
“Mandat yang rakyat berikan kepada kita untuk menjadi kerajaan perlu dimanfaatkan dalam pembangunan Sabah kerana kita sudah jauh ketinggalan. Ketika ini, ancaman Covid-19 menyebabkan banyak syarikat, usahawan dan juga penggiat industri perhotelan serta pelancongan gulung tikar dan lingkup,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2020, di Kuala Lumpur.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO ini berkata, adalah menjadi tanggungjawab GRS untuk membangunkan Sabah sekaligus memperkasa politik di negeri ini.
Tambahnya, situasi politik Sabah agak berbeza dengan Semenanjung Malaysia jadi, biarpun UMNO di Semenanjung sudah memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga pilihan raya akan datang, tapi di Sabah, UMNO memerlukan satu formula baharu untuk mengekalkan kerjasama dalam parti-parti gabungan dalam GRS.
“Kita kena pastikan apa yang berlaku di Semenanjung tidak berlaku di Sabah dan kita mahu memberi fokus untuk membangunkan rakyat dan ekonomi Sabah,” ujarnya.
Terdahulu dalam ucapan perasmian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan bertanding sendirian dan menggunakan lambang dacing dalam PRU-15. UMNO bukan riak dan sombong untuk bertanding sendirian sebaliknya mahu menjadi lebih dominan dalam pembentukan kerajaan.
Ketika ini, Sabah merekodkan jumlah keanggotaan UMNO paling ramai di seluruh negara.
SabahNewsToday