KOTA KINABALU : Umno Sabah hari ini menegaskan mereka berhak memilih mana-mana parti untuk bergabung dalam percaturan mereka menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi agar mampu menjadikan mereka dominan.
Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, bagaimanapun menjelaskan bahawa setakat ini mereka belum membuat sebarang keputusan berkenaan hal itu kerana ada hal lain yang perlu didahulukan.
Katanya, keutamaan Umno Sabah ketika ini ialah mengukuhkan parti di negeri berkenaan.
“Sebagai sebuah parti yang telah lama berakar umbi di Sabah, kita (Umno) mempunyai hak untuk memilih dengan siapa kita ingin bergabung.
“Tetapi, sebelum memutuskan sebarang kerjasama politik, keutamaan kita ialah memperkukuh jentera parti di semua peringkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bung Moktar berkata, beliau harus memastikan Umno Sabah berada dalam keadaan yang kuat.
“Ini kerana jika kita dominan, mana-mana pihak yang bergabung dengan kita juga akan melihat Umno sebagai pemimpin utama dalam landskap politik negeri ini,” jelas Bung Moktar.
Menurutnya, baru-baru ini Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan mereka bahawa sangat penting parti itu kembali menjadi dominan dalam PRN akan datang.
Ahmad Zahid juga, kata Bung Moktar, mengingatkan Umno Sabah agar tidak mudah percaya kepada janji-janji manis pihak tertentu yang mahu bekerjasama namun akhirnya hanya merugikan mereka.
“Berdasarkan pengalaman lalu, Umno Sabah merangka strategi tersendiri dan memiliki pasukan yang mantap dalam menghadapi sebarang situasi politik.
“Kami tidak perlu terburu-buru dalam mencari rakan gabungan kerana Umno bukan parti yang lemah,” kata Bung Moktar.