UMNO masih relevan kalangan anak muda – Azuwan, KB Umno Kota Belud

KOTA BELUD : Walaupun dilabel sebagai sebuah parti tidak popular terutama dalam kalangan anak muda, Umno masih relevan apabila menerima lebih 150 orang majoritinya anak muda memohon menjadi ahli baru di bahagian Kota Belud.

Ketua Bahagian UMNO Kota Belud Azuwan Marjan Norjan berkata ini membuktikan UMNO sebagai parti keramat masih relevan di kalangan anak muda yang  memilih UMNO sebagai wadah perjuangan mereka dalam politik.

“Ini satu petunjuk positif yang parti kita masih ada pendukungnya, masih ramai ingin turut serta dan Umno parti sentiasa terbuka,” katanya  ketika berucap merasmikan mesyuarat penaja UMNO Cawangan Melungkut Kota Belud kemarin.

Menurut Azwan bagi menarik lebih ramai anak muda menyertai UMNO pendekatan yang lebih holisitik perlu dilakukan kepada golongan ini sesuai dengan citarasa mereka.

“Peranan ini boleh dilakukan oleh Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO dengan pendekatan yang lebih efisin selari dengan cita rasa golongan muda samaada melalui penganjuran program-program sukan, kebajikan Pendidikan dan sebagainya,” katanya

Menurut Azwan lagi amanah untuk mendekati dan memikat hati golongan pengundi 18 tahun ini bukan semata-mata terletak di bahu pergerakan Pemuda atau Puteri UMNO namun ianya menjadi tanggungjawab semua pemimpin akar umbi.

Sehubungan itu, beliau  berkata, seluruh kepimpinan bahagian perlu fokus dan komitmen bagi memastikan mereka menjadi pengundi parti dan membina idealisme supaya memahami hakikat perjuangan sebenar UMNO.

“Ramainya ahli ini tidak akan bermakna sekiranya tidak dapat digemblengkan usaha menggerakkan mereka untuk bersama dengan agenda parti dan diterjemahkan ke dalam kertas.

“Jadikanlah mesyuarat penaja ini sebagai pentas menyuntik kefahaman terhadap isu yang melingkari lingkungan.

“Paling penting mencari pendekatan baharu untuk meraih dan mengembalikan sokongan dan keyakinan,” kata Azuwan.