SANDAKAN: UMNO Bahagian Kinabatangan menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar terus menerajui tampuk pemerintahan di negara ini.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sokongan itu adalah bagi memberi ruang kepada Ismail Sabri untuk mentadbir sekali gus melaksanakan agenda pemulihan pasca COVID-19 sehingga Pilihan Raya Umum (PRU15).
Katanya, UMNO Bahagian Kinabatangan turut menyatakan sokongan padu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ymengemudi parti selaras Fasal 9.8.1.1.
“UMNO Bahagian Kinabatangan menyatakan kepercayaan tidak berbelah bahagi kepada pimpinan tertinggi UMNO Malaysia dalam mengurus tadbir, merencana, mencorak serta membuat keputusan mengenai hala tuju parti selagi mana tidak melanggar Perlembagaan UMNO.
“Bagi memastikan UMNO kembali memerintah secara dominan, UMNO Bahagian Kinabatangan akan memfomulasikan budaya kebersamaan dalam gerak kerja Pilihan Raya dari peringkat Pusat, Negeri, Bahagian, Pusat Daerah Mengundi (PDM), di peringkat lokaliti yang secara tidak langsung merapatkan saf kepimpinan,” katanya.
Bung Moktar menggesa jentera UMNO di peringkat bahagian dan cawangan agar meneruskan kecemerlangan untuk memperkasakan parti sekali gus mengelak daripada sebarang pergolakan.
“Kita mengajak rakyat terutama di Sabah agar bersama-sama dalam satu perjuangan untuk membina semula kegemilangan dan kemakmuran Malaysia melalui UMNO, seperti perjuangan sebelum ini.
“Semangat perpaduan dan kebersamaan ahli UMNO terhadap pemimpin juga penting bukan sahaja demi kesejahteraan rakyat malah mampu menyumbang kepada kejayaan pentadbiran kerajaan yang lebih stabil di masa depan,” katanya.