UMNO bertanding kerusi tradisi di Parlimen Beaufort

BEAUFORT: UMNO Bahagian Beaufort mengulangi pendiriannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Beaufort pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Ketua bahagiannya, Datuk Awang Aslee Lakat, berkata Parlimen Beaufort merupakan kerusi tradisi yang ditandingi UMNO setiap kali pilihan raya dan parti itu tidak akan berganjak dengan pendirian tersebut.

“Inilah pendirian bahagian untuk bertanding di kerusi tradisi parti di kawasan ini,” katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO bahagian di Dewan DSP Dun Banir di sini pada Ahad.

Menurutnya, pendirian untuk mempertahankan kerusi berkenaan juga sebagai memenuhi aspirasi akar umbi parti.

Awang Aslee yang juga Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah, berkata kekuatan UMNO adalah kerana kesetiaan dan perjuangan ahli di peringkat akar umbi.

“Mereka adalah tunjang kekuatan dan kebangkitan semula UMNO dan ia adalah asas untuk kita menuntut kerusi Parlimen Beaufort ini ditandingi calon Barisan Nasional (BN) dari UMNO,” katanya.

Pada pilihan raya umum lepas, kerusi Parlimen Beaufort dimenangi calon BN dari UMNO, Datuk Hajjah Azizah Datuk Seri Panglima Mohd Dun namun kemudian telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ketua Umno bahagian itu bagaimanapun mengingatkan ahli-ahli UMNO bahagian supaya terus memperkasakan jentera parti di semua peringkat termasuk cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi membolehkan sentiasa siap siaga menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

“Kita perlu bersiap sedia selain sentiasa setia kepada parti, mempunyai komitmen dan kekuatan. Ini merupakan faktor penting untuk kita menuntut kerusi tradisi parti di kawasan Parlimen Beaufort,” ujar beliau.

Katanya, pendirian bahagian itu untuk kekal bertanding di kerusi berkenaan pada pilihan raya umum akan datang merupakan salah satu usul pada mesyuarat perwakilan berkenaan.

Sementara itu, UMNO bahagian juga telah membuat ketetapan untuk terus menyokong kepimpinan Presiden parti, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO dan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.