LABUAN: UMNO bersama Barisan Nasional (BN) bersedia melakukan beberapa pendekatan baharu bagi mendekati 5.8 juta pengundi muda di negara ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pengundi muda berusia antara 18 hingga 21 tahun berdaftar secara automatik sebagai pengundi sah sedikit sebanyak boleh mempengaruhi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, apa paling penting pendekatan parti perlu mengetahui pemikiran, cita rasa serta kehendak mereka disamping cuba mendengar pandangan suara kumpulan pengundi tersebut.
“Kita perlu memberikan perhatian kepada golongan ini… kita tidak boleh membiarkan seolah-olah tidak berupaya memikat hati mereka.
“Sebahagian besar golongan ini dilihat tidak berminat dengan kegiatan politik sekali gus memerlukan kita harus memikirkan jalan untuk menawan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan perjumpaan bersama kepimpinan UMNO Bahagian Labuan, di sini.
Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata golongan pengundi dalam usia ini sudah tentu terdiri dalam kalangan remaja lepasan sekolah serta belum terdedah secara meluas terhadap dunia politik.
“Sebagai pemimpin akar umbi pertama sekali kita perlu memberikan penerangan secukupnya kepada mereka disamping memberi kefahaman terhadap undi untuk menentukan masa depan negara,” katanya.