KOTA KINABALU: Umat Islam di perlu melipatgandakan usaha dengan meningkatkan daya saing dan inovasi dalam pelbagai sektor, untuk menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dalam konteks ini, beliau yakin dengan penghayatan terhadap al-Quran, umat Islam akan menjadi umat yang dinamik, progresif dan cemerlang.
“Sesungguhnya kitab suci al-Quran mengandungi begitu banyak pengajaran dan panduan yang sepatutnya kita manfaatkan untuk menjadi sebuah bangsa dan umat yang berjaya dalam semua aspek kehidupan.
“Islam amat menggalakkan umatnya mengamalkan semangat berlumba-lumba dan bersaing dalam semua bidang untuk mencapai kemajuan dan kejayaan. Ia adalah resepi membangunkan masyarakat yang bersemangat untuk maju, bukan sahaja dari segi teknikal tetapi turut digabungkan dengan nilai-nilai keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Penyampaian Hadiah dan Penutupan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah di Dewan Saadah, Wisma MUIS di sini, malam tadi.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr) Haji Juhar Mahiruddin menyempurnakan Perutusan Perasmian Majlis Tilawah dan Hafazan Al- Quran Peringkat Negeri Sabah.