Umat Islam perlu contohi peribadi dan keterampilan Nabi Muhammad SAW – Hajiji

KOTA KINABALU : Masyarat Islam  digesa agar sentiasa mencontohi keperibadian serta keterampilan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh dalam diri masing-masing.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, melalui keperibadiannya yang luar biasa mulia dan disanjung itu, Nabi Muhammad SAW berjaya menyatukan kaum muhajirin dan ansar selepas berlakunya peristiwa Hijrah pada 622 masihi di Madinah.

Katanya, penyatuan ini bukan sahaja membina hubungan baik antara manusia dengan Allah SWT, juga perubahan dan era baharu konsep persaudaraan dengan membangunkan model komuniti.

“Ia juga bertunjangkan Islam dalam menyatupadukan penduduk Madinah yang berbilang kaum dan agama.

“Justeru, konsep perpaduan dalam kepelbagaian kaum dan agama yang diperkenalkan oleh Rasullulah amat penting diteruskan, ke arah memastikan lebih banyak kejayaan dan pembangunan dapat dinikmati di negeri ini,” katanya di sini semalam.

Hajiji berkata, melalui berselawat, diharapkan agar umat Islam sentiasa memperingati sekali gus menjadi umat Islam yang mahukan kejayaan dunia dan akhirat.

“Menjadi tanggungjawab umat Islam mengangkat dan mengagungkan kerasulan Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi akhir zaman, mengasihi dan mencintainya sepanjang hayat serta mendekati-Nya dengan berselawat kepadanya setiap masa dan ketika.

“Meskipun tidak berkesempatan bertemu dengan Rasulullah S.A.W, namun kita masih berpeluang untuk mendalami dan mengamalkan sunnah dan sirah Baginda.,” jelas Hajiji.

Menurutnya, hal ini merupakan antara bukti kecintaan kepada Baginda, satu-satunya Nabi dan Rasul yang berupaya memberikan syafaat kepada seluruh umatnya di hari kemudian nanti.

“Berselawat ke atas Rasulullah S.A.W sebenarnya dapat mendidik diri, hati, jiwa dan akal kita untuk menjadi umat yang sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang dikurniakan”, tegas beliau.

“Program itu medium mendekatkan golongan belia dengan program-program keagamaan yang turut menampilkan penceramah terkenal dalam dan luar negara,” tambah Hajiji.