KUALA PENYU: Ketua Bahagian UMNO Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat mengajak umat Islam mencontohi Nabi Muhammad SAW mengutamakan kepentingan ramai, berbanding individu dengan tidak memperjuangkan agenda yang sempit.
Katanya, Nabi Muhammad SAW berlaku adil dengan membangunkan satu gagasan untuk kesejahteraan semua yang masih kekal sehingga masa kini.
“Mengambil tema sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini iaitu ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani’ marilah kita menyatukan ikatan hati dan menumpukan usaha ke arah memelihara kemaslahatan ummah.
“Janganlah kita terlalu jauh menyimpang dari landasan yang telah ditinggalkan oleh
Baginda yang telah memberi contoh serta model cukup sempurna untuk kita teladani bersama,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kg. Kerukan di sini hari ini.
Awang Aslee berkata, Nabi Muhammad telah memberi tunjuk ajar agat umatnya menuju ke jalan yang benar lagi adil.
“Sama-samalah kita berdoa kepada Allah SWT, agar semua digolongkan di dalam golongan umat Baginda Rasulullah SAW, yang layak untuk memasuki syurga Allah SWT,” katanya.
Beliau berkata dalam tempoh sama Baginda memandu umat manusia dalam pelbagai aspek kehidupan yang turut merangkumi konsep pentadbiran berasaskan ‘good governance,’ politik, ekonomi, keselamatan dan keadilan.
“Baginda mengajar setiap pemimpin untuk pertamanya menetapkan niat yang betul. Setelah itu, berlaku jujur dalam menjalankan amanah dan meletakkan nilai ketakwaan kepada Allah SWT,” kata Awang Aslee.