KOTA KINABALU: Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman dan bekas Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul Sabah pada tahun ini.
Sukarti, 67, memulakan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri pada 3 Julai 2008 sebelum bersara pada 8 Julai 2018.
Dr Ros Nani, seorang pakar penyakit bawaan vektor pula dilantik sebagai Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah pada Julai 2021 sebelum bersara wajib pada Jun lalu.
Kedua-dua mereka masing-masing berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran kerajaan dan kesihatan dengan memberi sumbangan yang signifikan kepada negeri sepanjang perkhidmatan mereka.
Anugerah kepada kedua-dua tokoh berkenaan disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Terdahulu, kira-kira 12,000 umat Islam menyertai perarakan dan pertandingan sepanduk serta kontinjen sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri bagi tahun 1445 H / 2023.
Perarakan bermula di Padang Merdeka Kota Kinabalu dan berakhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di mana berlangsungnya perhimpunan Maulidur Rasul kali ini.