KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) sedang menyusun dan melaksanakan program bagi menoktahkan masalah kemiskinan tegar di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, antara tindakan kerajaan ialah memperuntukkan RM125 juta setiap tahun untuk Program Rumah SMJ bagi membina rumah rakyat miskin tegar yang tersenarai dalam e-Kasih di seluruh negeri.
“Kerajaan juga akan memperuntukkan sejumlah RM175 juta khas untuk program membasmi kemiskinan dengan mendapatkan peluang pekerjaan kepada golongan sasar bagi membolehkan mereka terkeluar dari kategori miskin tegar.
“Kerajaan Negeri juga menyambut baik komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai usaha untuk mensejahterakan rakyat dengan langkah ke arah menoktahkan kemiskinan yang bertepatan dengan ajaran Rasulullah SAW,” katanya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1445H/2023M di Pusat Konvensyen Anatarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Sebab itu, katanya, pembangunan insan menjadi aspek penting yang terkandung dalam Dasar Hala Tuju SMJ selari dengan kerangka pembangunan insan Malaysia Madani ke arah ‘Baldatun Thoyyibatun wa Rabbhun Ghafur’ atau negeri yang baik mendapat keredhaan dan keampunan Tuhan yang maha pengasihani.
Beliau berkata, selaras dengan tuntutan itu Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada aspek pendidikan dan latihan di bawah Hala Tuju SMJ dengan matlamat melahirkan modal insan yang berilmu, mahir dan berketrampilan.
Malah lebih menjurus kepada melahirkan generasi pewaris yang berilmu dan berupaya mengendali segala urusan dan aktiviti dalam pelbagai aspek seperti politik, ekonomi serta sosial secara bijaksana, berintegriti dan adil, demi kesejahteraan negeri dan seluruh rakyat, katanya
Hajiji berkata atas faktor itu dan selari dengan teras kedua Hala Tuju SMJ iaitu Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, Program Felo SMJ 2.0 diteruskan pada tahun ini.
Katanya inisiatif Felo SMJ ini adalah usaha Kerajaan Negeri untuk memperkasakan pembangunan modal insan di negeri ini.
Menurutnya Kerajaan Negeri memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkasa modal insan agar sentiasa kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti.
“Program yang bermula awal bulan ini membabitkan graduan tetapi kita juga membuka ruang kepada pelajar lepasan diploma, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang setaraf dengannya.
“Mereka ditempatkan di jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan matlamat untuk menyediakan pelapis kepimpinan Sabah pada masa akan datang,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri berada di landasan yang tepat selaras dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ, yang kini hasilnya dapat disaksikan dan dirasakan, terutama dalam usaha membangunkan semula ekonomi negeri menerusi konsep mesra pelabur dan mempermudahkan urusan peniaga serta pelabur luar yang ingin menjalankan perniagaan di negeri ini.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, semangat kekitaan dan perpaduan kaum kalangan penduduk negeri ini perlu sentiasa dijaga dan dipelihara.
“Sekarang adalah masa dan detiknya untuk kita meningkatkan lagi silaturrahim, membina ukhuwah dan kesepakatan kerana kita perlu merencana dan mengatur masa hadapan yang lebih kondusif dan cemerlang.
“Ini selaras dengan gagasan Malaysia Madani dan Hala Tuju SMJ yang matlamatnya ke arah mencipta kemakmuran dan kesejahteraan yang holistik untuk dinikmati bersama,” katanya.
Terdahulu, Hajiji bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan ribuan umat Islam sekitar ibu negeri menyertai perarakan Maulidur Rasul dari Padang Merdeka, di sini ke SICC.