Tersangkut dalam lumpur, kontraktor jalan Kalabakan-Keningau hanya jadi pemerhati

KALABAKAN: Lebih 30 kenderaan merunggut terpaksa menunggu giliran hampir sejam untuk melalui laluan rosak jalan utama Kalabakan-Keningau di sini semalam.

Seorang pengguna, Johnny John Anthony, berkata lebih mengecewakan apabila kontraktor dilantik hanya menjadi pemerhati kepada kenderaan yang tersangkut dalam lumpur.

Katanya, sepatutnya kontraktor dilantik perlu memberi keutamaan kepada kenderaan ringan terlebih dahulu sebelum lori mengangkut balak serta kelapa sawit melaluinya.

“Ini adalah tugas kontraktor dilantik, jika tidak apabila kenderaan berat terlebih dahulu melalui jalan ini sudah tentu kenderaan ringan tersangkut dalam lumpur.

“Kita juga masing-masing ingin cepat awal sampai ke destinasi…Tapi bayangkan apabila kenderaan ringan tersangkut dalam lumpur jentera kontraktor jadi pemerhati.

“Lebih menyakitkan hati apabila pekerja kontraktor dilantik seolah-oleh bersorak gembira apabila melihat kenderaan tersangkut di dalam lumpur berkenaan,” katanya kepada Sabah News Today di sini hari ini.

Johnny berkata, keadaan cuaca yang sering mengalami hujan di kawasan jalan Kalabakan-Keningau ini menyebabkan laluan berkenaan gagal diperbaiki mengikut jadual yang ditetapkan.

“Mana Menteri Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah….Jika Yang di-Pertuan Agong sanggup turun melalui jalan-jalan di Sabah, agak mustahil seperti Ketua Menteri Sabah tidak peka kepada masalah ini.

“Kami terpaksa menunggu berbaris sehingga berjam-jam untuk melalui jalan ini kemudian senang sahaja kenderaan berat terburu-buru melalui laluan ini,” kata Johnny.

Menurutnya, mungkin apabila Perdana Menteri atau Yang di-Pertuan Agong baru mereka atau pihak berwajib kelam-kabut menyiapkan laluan ini seperti mana yang berlaku baru-baru ini.

“Jangan menunggu ditularkan barulah Ketua Menteri Sabah atau Menteri JKR turun padang melihat laluan ini,” tegas Johnny.