Tertuduh, Mohammad Ali Iqram Thien Abdullah, 45, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki seekor tenggiling hidup (Manis javanica) yang ditemui di dalam tong plastik berwarna hitam kira-kira jam 5.35 petang pada 23 Februari lalu di resort berkenaan.
Haiwan tersebut merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya seperti disenaraikan dalam Jadual 1, Bahagian 1, Nombor 13 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan pemilikan itu didakwa tanpa sebarang kebenaran sah.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) enakmen sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 41(4)(a).
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta penjara antara satu hingga lima tahun.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Primus Lambut manakala tertuduh diwakili peguam, Lim Chun Yuan.
