KOTA KINABALU: Pejabat Parlimen Sepanggar akan mengadakan program ‘Townhall Parlimen Sepanggar (Suku Pertama 2023)’ bertempat di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Kinabalu pada 11 Mac ini.
Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud berkata, Townhall ini berfungsi sebagai pertemuan dua hala dianjurkan Pejabat Parlimennya dijangka akan dihadiri pihak berwajib termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Peto Galim, ADUN Darau, Azhar Matussin dan ADUN Karambunai, Datuk Yakub Khan.
“Selain itu, kita juga menjemput pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Air Sabah, Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah (JPS), Jabatan Kerja Raya Sabah (JKR), Polis Di Raja Malaysia (PDRM) serta Pusat Zakat Sabah akan menyertai sesi ini bagi memastikan perkhidmatan terbaik mereka dapat disampaikan kepada Warga Sepanggar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustapha berkata, bagi memanfaatkan kehadiran semua, Jabatan dan agensi Kementerian Sumber Manusia juga turut sama membuka pameran.
“Antara yang bakal turut serta adalah PERKESO, NIOSH, HRDCorp, Institut Latihan Perindustrian dan banyak lagi.
“Pra-Pendaftaran akan dibuka bermula 6 Mac ini. Ikuti perkembangan seterusnya di laman rasmi dalam tempoh terdekat,” katanya.
Mustapha mengalu-alukan orang ramai agar mengambil peluang hadir bagi menjayakan program ini sekali gus mendapatkan matlumat secara terperinci berkaitan masalah berlaku di Parlimen Sepanggar.