KOTA KINABALU: Kerajaan persekutuan perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu Sabah mencapai kadar vaksinasi 60 peratus menjelang akhir bulan ini.
Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew berkata, dalam tempoh sama beliau memuji tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menekankan kadar vaksinasi Sabah perlu dipertingkatkan berikutan mempunyai kadar terendah di seluruh negara.
Katanya, ini sekali gus memerlukan perhatian serta bantuan kerajaan pusat bagi merealisasikan hasrat untuk mencapai kadar vaksinasi dalam tempoh terdekat.
“Kami memuji perdana menteri kerana memberi perhatian terhadap keperluan mendesak Sabah sekarang, yang sudah lama tertangguh.
“Kami berharap kerajaan pusat akan mengambil perhatian kata-kata perdana menteri dan melakukan yang sewajarnya agar Sabah juga dapat mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus kadar vaksinasi, pada akhir bulan ini.
“Sabah berhak mendapat penghormatan serta layanan yang sama dan bahagian bantuan ekonomi dan sumber yang setara, sebagai rakan setara Persekutuan Tanah Melayu,” katanya
Christina yang juga Pengerusi PKR Sabah berkata, setakat 31 Ogos, Sabah hanya mencapai kadar vaksinasi 40 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk dewasa, menurut Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF). Negeri itu kini berada di kedudukan terakhir di antara semua negeri.
“Kerajaan persekutuan sekarang harus membuktikan kesungguhannya dalam membantu Sabah dengan menangani masalah negeri ini dan meningkatkan infrastruktur penjagaan kesihatannya,” katanya.
Tidak dapat dinafikan, katanya lagi, penanganan wabak ini oleh kerajaan telah memperlihatkan kelemahan sistem dan infrastruktur penjagaan kesihatan di Malaysia, khususnya Sabah.