KOTA KINABALU: Sabah membenarkan pemilik restoran meletakkan meja di ruang legar atau kaki lima untuk pelanggan makan di premis asalkan sudah menyewa tapak itu daripada pihak berkuasa tempatan serta patuh kepada SOP yang berkuat kuasa.
Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kebenaran itu diberikan kerana negeri ini berada dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan nilai ambang vaksinasi penuh sudah melebih 40 peratus populasi dewasa pada 31 Ogos lalu.
Sebelum ini kerajaan negeri melarang penggunaan kaki lima dan ruang legar restoran untuk aktiviti ‘dine-in’ tetapi selaras keadaan semasa larangan itu ditarik balik berkuat kuasa 2 September ini.
Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri turut berkata jumlah kes harian COVID-19 hari ini kekal empat angka.
“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 hari ini adalah sebanyak 2,430 kes, menjadikan jumlah kumulatif 150,273 kes.
“Sebanyak 38 kes kematian dilaporkan hari ini iaitu Sandakan dan Keningau mencatatkan tujuh kes, Kota Kinabalu enam kes, Penampang dan Tawau empat kes manakala Semporna, Pitas, Papar, Kudat, Kalabakan, Beaufort, Kuala Penyu, Tuaran, Kota Belud dan Lahad Datu masing-masing satu kes.
“Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital 2,415 menjadikan jumlah kumulatif 117,344 orang.
“Seramai 4,885 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,545 orang di hospital, 3,283 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 51 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) manakala enam orang di fasiliti swasta,” katanya.