Tiga lelaki dicekup kes rogol remaja

TAWAU: Tiga lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes rogol seorang remaja perempuan yang didapati hamil.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kes terbongkar selepas mangsa mengadu sakit di bahagian sulit sebelum dibawa kakaknya ke hospital untuk pemeriksaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati remaja itu mengandung sebelum satu laporan polis dibuat selepas mangsa mengaku pernah melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki yang dikenalinya di sebuah hotel.

“Bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau berjaya menahan dua lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an di tepi Jalan St Patrick.

“Hasil tangkapan itu membawa kepada penahanan seorang lagi suspek lelaki warga asing berusia 29 tahun di hadapan sebuah kilang di Batu 3, Jalan Apas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.