KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh agenda pendidikan inklusif apabila melantik wakil mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2025/2026.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Mansor, berkata langkah itu penting bagi memastikan mahasiswa OKU tidak terpinggir dalam sistem kepimpinan pelajar universiti.
Katanya, penyertaan wakil mahasiswa OKU dalam MPP membolehkan suara serta keperluan golongan itu dibawa secara langsung dalam tadbir urus dan proses membuat keputusan.
Watikah pelantikan itu disampaikan kepada Mohammad Azrie Rodi, pelajar tahun dua Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) yang juga Presiden Kelab Mahasiswa OKU UMS.
Beliau berkata, pelantikan itu sejajar dengan usaha UMS untuk terus memperkukuh kampus yang mesra OKU dan memberi ruang lebih luas kepada mahasiswa berkeperluan khas menyerlahkan potensi diri.
