DAP Sabah kecewa penangguhan hak 40 peratus

KOTA KINABALU: Sabah DAP melahirkan kekecewaan terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan penangguhan pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Sabah, sambil menyifatkannya sebagai satu kemunduran dalam isu yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

Pengerusinya, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, kelewatan berterusan itu seolah-olah mengembalikan isu berkenaan “ke titik asal”, sekali gus menimbulkan persepsi bahawa tiada banyak perbezaan antara pentadbiran semasa dengan kerajaan terdahulu dalam menangani tuntutan itu.

Katanya, hak 40 peratus itu jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak sepatutnya terus dibiarkan dalam ketidakpastian tanpa garis masa yang jelas.

“Rakyat Sabah berhak mendapat lebih daripada sekadar jaminan umum. Mereka berhak tahu bila dan bagaimana hak perlembagaan ini akan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Phoong turut menggesa Kerajaan Persekutuan menetapkan tarikh muktamad serta pelan tindakan yang jelas, termasuk penglibatan telus bersama Kerajaan Negeri Sabah dan pihak berkepentingan lain bagi memastikan kemajuan dapat diukur serta dipertanggungjawabkan.

Beliau berkata, isu berkenaan perlu diselesaikan tanpa lengah lagi kerana ia bukan sahaja soal keadilan dan hak perlembagaan, tetapi juga keupayaan fiskal Sabah untuk pembangunan negeri.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa pelaksanaan hak 40 peratus itu adalah antara komitmen yang pernah dijanjikan di bawah manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 Pakatan Harapan.