Tiga lagi ADUN Warisan keluar parti, sokong Hajiji

KOTA KINABALU: Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Warisan (Warisan) hari ini mengumumkan keluar parti.

Mereka ialah Mohammad Mohamarin (ADUN Banggi); Chong Chen Bin (Tanjong Kapor); serta Norazlina Arif (Kunak).

Dalam kenyataan mereka hari ini memaklumkan untuk memilih menjadi sebagai ADUN Bebas sekali gus menyatakan sokongan kepada Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Setelah memperhalusi pelbagai aspek dari segenap sudut pertimbangan termasuk selepas mengambil kira hala tuju gabungan parti dan pandangan akar umbi di kawasan kami wakili.

“kami menyatakan sokongan kepada Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah dengan harapan kami dapat meneruskan khidmat baik kepada masyarakat yang kami wakili,” katanya hari ini.

Keputusan ini memperlihatkan ketiga-tiga mereka turut melepaskan semua jawatan dalam parti sama ada di peringkat bahagian atau Ahli Majlis Tertinggi.

Mereka juga berpandangan sudah tiba masanya polemik politik dan sebarang tindakan untuk mewujudkan ketidakstabilan kepada kerajaan perlu dihentikan.

Ini kerana, mereka berkata perkara itu memberi kesan kepada usaha membangunkan negeri dan rakyat.

“Kami akan bekerja bersama-sama Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri untuk meneruskan momentum positif pembangunan negeri dan peningkatan hasil negeri melalui hala tuju Sabah Maju Jaya.

“Kami juga bertekad untuk terus memberi tumpuan dan perkhidmatan yong lebih baik untuk rakyat di kawasan kami khasnya dan negeri Sabah serta Malaysia amnya,” kata mereka.