Tidur bantal lain, mimpi kami tetap sama – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menggambarkan hubungannya dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor, sebagai ‘tidur bantal yang lain, namun mimpi tetap sama’.

Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berkata walaupun Barisan Nasional (BN) tidak menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dipengerusikan Hajiji juga ADUN Sulaman, BN tetap menyokong gabungan itu bagi memastikan kerajaan Sabah stabil untuk rakyat.

Pengerusi BN Sabah itu berkata kerajaan Sabah sebelum ini sukar untuk meletakkan fokus membangunkan negeri, kerana terlalu kerap bertukar kerajaan dengan 16 kali mengadakan pilihan raya negeri berbanding Sarawak hanya 12 kali dan Persekutuan sebanyak 14 kali mengadakan pilihan raya umum.

“Kita ada banyak perancangan, tetapi tidak akan menjadi kalau kita tidak habis-habis jatuhkan satu sama lain, sebelum ini macam-macam jenis kerajaan negeri kita cuba tetapi tidak menjadi, jadi kita sama-sama pertahankan dan bantu kerajaan negeri sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin bagi kementeriannya, pada sidang Dewan Undangan Negeri Sabah di sini malam ini.

Persidangan itu kemudian ditangguhkan ke hari esok.

GRS secara rasmi terdiri daripada Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP), tanpa penyertaan BN dianggotai UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

— BERNAMA