Tiada PRN mengejut Parlimen dibubar tahun ini – Hajiji

SANDAKAN: Sabah tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengikuti pembubaran Parlimen berikutan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) mempunyai tiga tahun lagi untuk berkhidmat sehingga penggal penuh.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata khabar angin mendakwa DUN Sabah akan dibubarkan juga jika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen tahun ini.

“Semua cakap-cakap itu tidak benar kerana kita masih ada tiga tahun lagi untuk mentadbir Sabah.

“GRS-BN menyambut ulang tahun kedua esok (26 Sept). Apa yang penting ialah kita terus memperkukuh GRS, gabungan yang mewakili rakyat berbilang kaum dan agama di Sabah.

“Ada pihak yang mendakwa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan Oktober ini dan ada yang mengatakan ia akan diadakan tahun depan, tetapi apa-apa pun GRS sudah bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jelajah GRS Batu Sapi di Flat MPS Kampung Lupak Meluas Darat, di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, semua parti komponen dalam GRS bersetuju untuk menggunakan simbol GRS dalam PRU yang akan datang.

“Semua parti dalam GRS termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS) dan STAR telah bersetuju untuk menggunakan simbol GRS dalam pilihan raya.

“Insya-Allah, kita akan muncul sebagai pemenang dalam PRU ini,” katanya.