Tiada kerjasama UMNO-Bersatu, diputuskan sejak Perhimpunan Agung UMNO lepas – Ahmad Zahid

MELAKA,Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tidak timbul isu kelewatan membuat keputusan berhubung kerjasama parti itu dengan Bersatu memandangkan perkara tersebut sudah lama diputuskan sejak Perhimpunan Agung UMNO lepas.

“Untuk Bersatu kita telah buat keputusan. Kita tidak akan pernah bekerjasama dengan mereka.. noktah. Tak lambat dah.. dulu dah..masa Perhimpunan Agung UMNO kita dah buat keputusan kita.

“Itulah keputusan kita dan kita muktamadkan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya di sini malam ini.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya tidak boleh menunggu terlalu lama ‘rakan di sebelah sana’ untuk membuat keputusan sama ada sedia bekerjasama atau tidak, semata-mata bagi mengelak pertembungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Sementara itu Ahmad Zahid yakin BN mampu menang pada PRN Melaka berdasarkan ‘permasalahan’ di ‘pihak sebelah sana’ ketika ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal 16 Nov.

— BERNAMA