Tangguhkan pemilihan PKR, tumpukan PRN Sabah – Roslan Safar

KOTA KINABALU : Mesyuarat Agung Tahunan (MATC) serta Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dicadangkan ditangguhkan sekali gus memberi tumpuan sepenuhnya kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Naib Pengerusi Tiga Majlis Pimpinan Negeri ( MPN), Roslan Safar berkata, penangguhan ini membolehkan seluruh cabang memberi tumpuan persediaan jentera parti di kawasan masing-masing.

Katanya, ini secara tidak langsung memberi pimpinan negeri menumpukan pemantapan persediaan jentera menghadapii PRN dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.

“Ini juga untuk mengelak perpecahan dalam kalangan ahli parti yang sudah pasti akan terjadi, jika ada pertandingan dalam jawatan di peringkat Cabang dan Ranting.

“Pemilihan ini secara langsung tidak akan memberi kesan besar kepada persediaan PKR Sabah dalam menghadapi PRN nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Roslan merupakan Ketua Cadang Kalabakan berkata, ini merupakan satu tanda pengiktirafan status autonomi Sabah selalu laung-laungkan.

“Ini sekali gus menolak dakwaan pihak musuh yang kononnya PKR hanya untuk orang Malaya atau Parti Malaya.

“Isu ini sudah diusulkan diperingkat akar umbi semasa MATC lepas oleh 25 cabang di Sabah bersama 100 peratus Ketua Cabang,” jelas Roslan.

Menurutnya, ini termasuk menghantar usul memohon penangguhan pemilihan di peringkat cabang sehingga selesai PRN Sabah.

“Permohonan penangguhan ini adalah untuk kepentingan parti dan bukanlah menentang keputusan pimpinan pusat malah bersetuju jika pemilihan dalam MATC diadakan selepas PRN Sabah nanti,” kata Roslan.