PETALING JAYA: Pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) Johor wajar ditangguhkan buat sementara susulan bencana banjir, selain peningkatan kes Covid-19 membabitkan varian Omicron di negeri itu ketika ini, kata Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Beliau berkata, semua pihak yang terlibat perlu bersabar kerana pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam tempoh tidak sampai setahun sahaja lagi.
“Sebagai wakil orang muda, saya merayu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor kalau boleh tangguhkan lah dulu PRN ini.
“Tak lama pun, PRU paling lambat lagi setahun, buat masa ini bermuafakatlah jaga kepentingan rakyat,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Beliau ditanya persediaan mengenai desas-desus pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN yang kononnya akan diadakan dalam masa terdekat.
Khabar angin mengenai pembubaran DUN dan PRN Johor itu bertambah kuat selepas parti politik termasuk Pakatan Harapan (PH) Johor, mengakui ada membincangkan perkara itu dalam mesyuarat mereka, baru-baru ini.
Pada Isnin, Menteri Besar Johor Hasni Mohammad, berkata kerajaan negeri masih memantau dan melihat keadaan semasa berhubung keperluan untuk mengadakan PRN.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fahysal berkata, kesan pelaksanaan PRN Johor juga perlu dikaji supaya tidak menghilangkan ‘kepercayaan’ rakyat terhadap pemimpin parti politik ekoran mereka masih dibelenggu kesusahan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perpaduan menegaskan, faktor kepentingan rakyat yang mendesak ketika ini seharusnya diambil kira semua pihak.
“Kalau tidak, orang akan persalahkan parti politik. Dengan varian Omicron semakin naik, jangan pandang remeh walaupun ada dos penggalak.
“Kita tidak mahu rakyat benci ahli politik. Nanti bila PRU15 peratusan keluar mengundi rendah. Apa guna kita buat pilihan raya kerana nanti ‘back to square one’ macam sekarang bergaduh lagi,” katanya.