Tanah seluas 400 hektar di Felda Wilayah Sahabat dikembalikan kepada orang kampung – Anwar Ibrahim

LAHAD DATU : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan persetujuan untuk mengeluarkan tanah adat anak negeri seluas 400 hektar di Tambisan, Lahad Datu daripada kawasan FELDA Wilayah Sahabat sekali gus dikembalikan semula kepada orang kampung.

Katanya, ini kerana mereka sudah  menduduki kawasan tersebut lebih awal sebelum FELDA.

Anwar Ibrahim

“Saya dimaklumkan bahawa perkara ini telah disuarakan sejak puluhan tahun oleh penduduk Tambisan.

“Kerajaan MADANI enggan membiarkan isu ini berlarutan dan Insya-Allah, ia akan diselesaikan bersama-sama Kerajaan Sabah dan FELDA dalam tempoh dua bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Santunan Budi, Tautan Kasih, Felda Madani, di Padang Bandar Felda Wilayah Sahabat di sini hari ini.

Dalam masa sama Anwar juga menegaskan kerajaan sedang berusaha bertungkus lumus untuk meningkatkan eksport sawit yang banyak terhasil di ladang FELDA bagi meningkatkan pendapatan warga penerokanya.

“Saya akan gunakan setiap ruang ketika bertemu pemimpin dunia seperti China, India serta Rusia untuk meningkatkan pembelian sawit Malaysia.

“Hasil sangat memberangsangkan kerana mereka menyatakan persetujuan hasil hubungan persahabatan yang akrab dalam kalangan negara-negara berkenaan,” jelas Anwar.

Menurutnya, beliau juga mengambil maklum masalah air dan elektrik yang masih membelenggu beberapa kawasan dan memerlukan peruntukan besar daripada Kerajaan Persekutuan.

“Saya percaya isu ini boleh diselesaikan dengan kerjasama baik daripada Kerajaan Negeri.

“Dalam masa sama, saya zahirkan setinggi-tinggi penghargaan buat warga FELDA Wilayah Sahabat bersama-sama dengan badan penguat kuasa sebagai barisan hadapan dalam usaha menentang pencerobohan di Lahad Datu pada 2013,” katanya.

Beliau teruja melihat keindahan FELDA Wilayah Sahabat yang terletak di tepi pantai sekali gus atas sambutan luar biasa daripada anak-anak FELDA secara keseluruhnya.

“Namun keindahan ini tidak datang bergolek, sebaliknya terhasil daripada jasa Almarhum Tun Abdul Razak yang mencetus idea membantu rakyat miskin menerusi program raksasa.

“Ia kemudian disahut ibu-ibu dan bapa-bapa peneroka awal yang berkorban meneroka hutan belantara hingga wujudnya 317 rancangan FELDA hari ini,” tambah Anwar.